Pages

Tuesday, January 24, 2012

Kunci Hilang

Pagi tadi aku tergesa-gesa kerana terjaga lewat dan harus menjemput seseorang di stesen bas Putra. Selepas menggosok gigi dua kali depan, dua kali kiri dan dua kali kanan, aku kemudian bersiap ala kadar. Roti telur petang semalam terhidang di tepi katil aku cubit sedikit untuk mengalas perut. Air milo yang sudah berbuih masih sedap bila melalui tekak dan esofogus. Perutku lega sedikit, sudah ada alas.

Setelah selesai apa yang sepatutnya diselesaikan, aku berlari-lari anak ke pintu rumah yang masih tertutup kerana kesemua makhluk yang bernafas dalam rumah ini masih lagi pingsan meneguk air liur basi. Mungkin oleh kerana bunyi bising aku kesana kemari, maka Irwan yang tadi tidur dengan kaki sebelah di atas rak TV dan sebelah kaki di dalam akuarium membuka sebelah matanya, perit sekali wajahnya kulihat melakukan perkara itu.

"Lu cari apa ke hulu ke hilir?. Irwan bersuara serak-serak basah seperti panglima perang yang sudah hampir nazak.
"Kunci kereta" Jawabku tanpa memandangnya lagi. Aku ke dapur dan bilik air, memeriksa sehingga ke mangkuk tandas dan bawah pinggan kotor namun tidak juga kutemui kunci tersebut. Aku terkejut hampir pengsan bila tiba-tiba Irwan berdiri tercegat di pintu antara dapur dan ruang tamu dengan muka seperti Mak Lampir terkena sembelit.

"Apa lah susah-susah, Lu cari je lah kat google!". Tengkingnya yang pada ketika itu sungguh pahit raut wajahnya. Tanpa menjawab, aku bergegas ke depan komputer yang hanya terletak bersebelahan dengan mesin parut kelapa.

"Keteketeketektek..tek...tek....tek....tup..tak...". Aku kelam kabut menekan papan kekunci yang diperbuat dari kayu jenis meranti. Sepantas halilintar, carianku berhasil dan menemui kunci yang aku cari tadi. Ku pilih butang "download". Sebentar sahaja kunci sudah ada di tanganku.

Dengan hati riang, aku melangkah keluar sebelum ku lihat Irwan memasukkan semula sebelah kakinya ke dalam akuarium.

1 comment: